Thursday, June 07, 2012

BAYANGAN MENDAPAT KILAUAN EMAS


MUNGKIN mereka masih mentah, namun barisan pertama pelapis negara optimis, selain badminton, senarai awal 27 atlet yang berjaya menempah tiket ke Olimpik akan membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di London, bulan depan.
Lima atlet pelapis yang disenaraikan sebagai barisan pertama oleh Majlis Sukan Negara (MSN) ini adalah Megan Elizabeth Teoh@Piper bagi sukan terjun, Mohd Fauzan Nor Azman (berbasikal), Zairul Zaimi Mohd Arsad (lawan pedang), Cheam June Wei (badminton) dan Atiq Bazil Bakri (memanah).

Bagi mereka, tidak mustahil ratu terjun negara, Pandelela Rinong bersama pasangannya Leong Mun Yee mampu meraih pingat emas pertama negara malah, Azizulhasni Awang selaku raja berbasikal turut tidak ketinggalan.

“Saya sering menyaksikan skuad elit terjun menjalani latihan intensif di Bukit Jalil serta meletakkan angan-angan agar dapat ke Olimpik seperti mereka suatu hari nanti.

“Sememangnya saya masih muda, tetapi bersandarkan mutu latihan mereka yang sungguh menakjubkan, saya yakin mereka akan menyumbang pingat emas terutama Lela dan Mun Yee,” kata Megan ketika sesi rakaman Siaran Komersial Impian Emas Negara di Studio 2, ntv7, Glenmarie Industrial Park, semalam.

Lima atlet itu dipilih MSN untuk mewakili atlet dalam sukan yang layak ke Olimpik dengan siaran komersial berkenaan akan ditayangkan bulan depan.


Megan yang baru berusia 11 tahun itu nyata memberi sokongan padu pada kakak dan abangnya dengan mengatakan bahawa kejayaan mereka ke Olimpik semakin menyuntik semangat pelapis sepertinya untuk beraksi lebih baik sekali gus menaikkan lagi mutu sukan Malaysia akan datang.

Fauzan, 18, pula berkata, selain Azizulhasni, dia turut meletakkan kepercayaan pada Fatehah Mustapha yang baru pertama kali ke Olimpik.

“Dengan kayuhan matang yang dipamerkannya (Azizulhasni), saya percaya dia akan memenangi pingat. Kita kena yakin dengan jurulatih (John Beasley). Bagi Fatehah yang baru pertama kali ke Olimpik, saya juga percaya dia mampu beraksi baik,” katanya.

Bersempena dengan penganjuran sukan terbesar dunia yang berbaki kurang 50 hari saja lagi, Media Prima Berhad (MPB) menyiarkan beberapa segmen berkaitan Olimpik di saluran ntv7, 8TV, TV3, TV9 dan saluran radio. Antara segmennya adalah ‘Spirit of London’ (ntv7) dan ‘Lets Go! Dream Team’ (8TV).

Senarai 27 atlet itu merangkumi lapan atlit terjun, badminton (6), memanah (4), berbasikal trek (3), berbasikal lebuh raya (2) manakala lawan pedang, perahu layar, menembak dan angkat berat dengan satu penyertaan.



 

No comments:

Post a Comment