Friday, June 29, 2012

VAN MARWIJK LETAK JAWATAN




VAN MARWIJK (tengah) mengambil keputusan untuk menamatkan kontraknya sebagai jurulatih Belanda berkuat kuasa serta merta kelmarin.


THE HAGUE - Jurulatih Belanda, Bert van Marwijk mengambil keputusan meletak jawatan selepas skuad The Oranje tersingkir pada pusingan pertama Euro 2012.
"Sudah lama saya memikirkan mengenai perkara ini tetapi saya mengambil keputusan untuk meletak jawatan hari ini (kelmarin)," kata van Marwijk dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Belanda (KNVB).
Menurut kenyataan KNVB, van Marwijk mengambil keputusan menamatkan kontraknya sebagai jurulatih Belanda berkuat kuasa serta-merta.
Bekas jurulatih Feyenoord dan Borussia Dortmund itu mengambil alih skuad Belanda pada 2008 dan kontraknya dengan pasukan tersebut sepatutnya berakhir pada Euro 2016.
Beliau mengambil keputusan itu selepas berasa kecewa dengan aksi pasukan pada Euro 2012 yang menyaksikan skuad The Oranje selaku pasukan pilihan dan naib juara Piala Dunia 2010, disingkirkan pada aksi peringkat kumpulan.
Van Marwijk berkata, beliau berasa bersalah selepas pasukan itu tewas kesemua tiga perlawanan Kumpulan B menentang Jerman, Denmark dan Portugal serta menamatkan kejohanan tanpa memungut sebarang mata.
"Saya masih ragu-ragu, namun saya memutuskan untuk mengambil langkah ini (meletak jawatan)," kata van Marwijk.
Di bawah kendalian van Marwijk, Belanda hanya mengalami empat kekalahan sepanjang 45 perlawanan.
Presiden KNVB, Bert van Oostveen memberitahu, persekutuan sangat bertuah apabila van Marwijk bersetuju untuk mengendalikan skuad antarabangsa kira-kira empat tahun lalu.
"Prestasi yang dipamerkan bersama pasukan sangat luar biasa terutama pada final Piala Dunia (2010) dan pernah membawa Belanda menduduki ranking No. 1 dunia (Ogos 2011).
"Saya gembira dengan kerjasama yang diberikan olehnya (van Marwijk). Sudah tentu kami kecewa tetapi kami juga perlu realistik," jelasnya.
Sejak memenangi gelaran Eropah pada 1998, Belanda hanya mara hingga ke separuh akhir sebanyak tiga kali dan suku akhir dua kali. - AFP

No comments:

Post a Comment