Saturday, July 21, 2012

PUASA BUKAN PENGHALANG


                                                  
SKUAD Malaysia XI tidak akan menjadikan bulan Ramadan sebagai alasan untuk gagal mempamerkan saingan menarik ketika menghadapi Arsenal dan Manchester City dalam satu aksi persahabatan Jelajah Asia dua kelab terkemuka Liga Perdana England itu.
Arsenal akan membuat perhitungan dengan skuad Harimau Malaya, Selasa ini diikuti menentang juara Liga Perdana England, City pada 30 Julai di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Kehadiran dua kelab terbaik England itu ketika umat Islam sedang menyambut Ramadan sudah tentu tidak akan menjadi penghalang kepada bintang negara untuk memanaskan badan sebelum menyertai saingan Piala AFF Suzuki 2012 November depan.
Pengendali pasukan negara, Datuk K. Rajagobal turut meluahkan keyakinan terhadap kemampuan anak-anak buahnya pada aksi menentang Arsenal dan City kelak.
Menurut Rajagobal, beliau akan cuba mencari taktik yang sesuai yang mungkin dapat digunakan untuk memastikan skuad kendaliannya beraksi dengan baik pada perlawanan tersebut.
"Para pemain sebenarnya sudah biasa beraksi pada bulan Ramadan kerana semua kelab dalam liga tempatan turut mengadakan latihan pramusim mereka sepanjang bulan yang mulia ini.
"Skuad negara terdiri daripada 26 pemain dan saya akan melihat nanti sama ada kami akan menggantikan pemain untuk menghadapi kedua-dua perlawanan tersebut kerana saya percaya bukan mudah bagi pemain untuk mengekalkan tahap konsisten selama 90 minit.
"Kita akan lihat situasi permainan itu nanti jika ada yang perlu ditukarkan saya akan lakukan kerana pemain tidak perlu beraksi sehingga mendatangkan kecederaan," katanya selepas Majlis Sumbangan Tiket oleh penganjur perlawanan, ProEvents kepada ahli keluarga pemain skuad negara.
Namun, perkara yang mungkin akan menimbulkan kerisauan Rajagobal ialah kecederaan yang dialami oleh beberapa pemain utama negara seperti Mohd. Safee Mohd. Sali, Ahmad Shakir Mohd. Ali, Asraruddin Putra Omar, Yong Kuong Yong dan Khairul Fahmi Che Mat.
"Memang kami tidak jangka ramai pemain kita mengalami kecederaan terutamanya penyerang (Mohd. Safee Mohd. Sali dan Ahmad Shakir Mohd. Ali) tetapi saya masih lagi berfikiran positif.
"Saya berharap kecederaan Safee dan Ahmad Shakir akan pulih dalam tempoh terdekat ini.
"Kalau situasi mereka masih tidak mengizinkan juga, saya tidak akan mengambil risiko," jelas Rajagobal.
Kecederaan buku lali kiri Safee serta hamstring yang dialami Ahmad Shakir mungkin ada hikmahnya, selain memberi mereka rehat secukupnya. Ia mungkin akan memberi peluang untuk penyerang muda dari Sabah, Rozaimi Abdul Rahman beraksi.
Bagaimanapun, Rajagobal enggan mendedahkan lagi pemain pilihannya yang akan diturunkan dalam kedua-dua perlawanan itu kelak.
Katanya, beliau akan memantau dahulu tahap kecergasan para pemain kerana cabaran yang mungkin disajikan oleh kelab dari Eropah sangat berbeza.

No comments:

Post a Comment