Thursday, August 02, 2012

APEK "SAYA TIDAK TERDESAK"




PEMILIK nombor 22 kebangsaan yang menjadi tonggak harapan di benteng terakhir skuad Harimau Muda dan Malaya, Khairul Fahmi Che Mat tidak terdesak untuk merebut semula posisi penjaga gol nombor satu dalam skuad senior yang kini dikuasai Farizal Marlias, bagi menghadapi saingan Piala Suzuki AFF November depan.
“Saya tidak fikir kedudukan penjaga gol nombor satu atau kedua, bagi saya dia bagus, malah dia pemain senior. Keadaan ini adalah satu persaingan sihat, baik untuk pasukan,” kata Khairul Fahmi yang menganggap jurulatih lebih berhak menentukan pemain yang mahu diturunkan.

Penjaga gol utama Kelantan itu turut menegaskan, persiapan skuad kendalian K Rajagobal memenuhi misi mempertahankan kejuaraan AFF kini di tahap terbaik, namun cabaran kali ini tidak semudah sebelumnya.
“Kita diundi bersama Indonesia dan Singapura, bukan suatu yang mudah. Malah tugas mempertahankan kejuaraan amat getir berbanding memburu kejuaraan pertama,” kata pemain yang lebih popular dengan panggilan ‘Apek’ ketika di temui di Mydin Mall, USJ sewaktu membeli belah persiapan hari raya anak-anak yatim bersama 20 kanak-kanak dari Asrama Anak-anak Yatim Darul Taqwa, Sungai Besi anjuran Mamee dan Mister Potato.

Khairul Fahmi yang amat memahami keperitan dan kepiluan anak-anak yatim dan golongan susah ketika menyambut perayaan berasa bertuah kerana berpeluang membantu menceriakan golongan itu.

“Saya pernah susah sebelum ini, saya tahu bagaimana perasaannya apabila hendak berhari raya dalam serba kekurangan. Sebagai orang miskin, kita juga ada memasang keinginan membeli pakaian baru dan saya melihatnya di mata anak-anak yatim ini. Ada anak yang paling kecil begitu teruja dan tidak tahu hendak memilih pakaian,” kata penjaga gol itu sambil menahan sebak.
Selain membantu anak-anak yatim memilih pakaian raya yang ditaja Mamee-Mister Potato, dia turut menyampaikan sumbangan duit raya peribadi kepada kanak-kanak terbabit.

“Alhamdulillah rezeki saya bertambah tahun ini, inilah tanggungjawab saya membantu selagi mampu. Bagi saya, sebagai orang dewasa dan sudah berkerja, kita mesti membantu golongan kurang bernasib baik seikhlas mungkin, walaupun tidak besar, saya pasti ia boleh meringankan beban mereka baik dari segi kemampuan mahupun emosi.
“Saya harap adik-adik ini teruskan hidup dan memburu impian. Jangan fikirkan tanggapan negatif orang lain untuk mencapainya.” Khairul Fahmi kini menjadi duta kepada enam jenama iaitu Mister Potato, Maxis, Puma, Brylcreem , pewangi Simply Siti dan 100Plus.

No comments:

Post a Comment