Saturday, June 30, 2012

ANTONIO CASSANO AYAM TAMBATAN AZZURI


IEV: Jurulatihnya mungkin tidak percaya dia mampu bermain selama sejam namun berapa lama dia bermain, Antonio Cassano pasti mampu mencetus perbezaan buat Itali dan kembali dari Ukraine sebagai hero atau sekadar naib juara, esok.
Pada Oktober tahun lalu, penyertaan penyerang AC Milan itu pada Euro 2012 diragui kerana dia didapati mengalami lemah jantung.

Kembali daripada satu perlawanan di Rome dia mengalami serangan angin ahmar yang memerlukan pembedahan untuk membaiki lubang di jantungnya.
Selepas itu dia berdepan penantian lama untuk pulih sebelum doktor memberikannya kebenaran untuk kembali ke padang.

Ia satu tamparan hebat buat pemain yang sudah lama bergelut dengan masalah sakit pinggang, isu kecergasan, masalah panas baran dan tidak memperoleh kepercayaan daripada jurulatih pasukan kebangsaan.

Marcelo Lippi tidak langsung mempertimbangkan untuk menyenaraikannya bagi kempen Piala Dunia 2010, ketika pemain berusia 29 tahun itu jarang sekali menikmati aksi pasukan utama sejak melakukan penampilan sulung pada 2003.
Namun dua tahun lalu, dengan Cassano mempamerkan persembahan hebat buat Sampdoria dan jurulatih baru Cesare Prandelli mengemudi pasukan kebangsaan, tiba-tiba penyerang berbakat tetapi bermasalah itu mendapati dia menjadi sebahagian daripada perancangan pasukan Itali.

Prandelli malah berkata beliau mahukan pasukannya dibentuk di sekitar Cassano dan pemain dari Bari itu teruja dengan peranan yang diberikan kepadanya itu.
“Ia adalah perlawanan terbaik Antonio daripada segi kehebatan dan tempo. Dia berlari, mengejar bola, dia sedar dia boleh menjadi aset penting walaupun boleh bermain hanya 50 minit,” kata Prandelli mengenai perlawanan separuh akhir menentang Jerman.

“Tapi ia adalah 50 minit yang dipenuhi dengan kualiti hebat.” Di samping penyerang Mario Balotelli, Cassano turut menjadi harapan Itali merobek benteng Sepanyol pada perlawanan akhir Euro 2012 di Kiev, awal pagi esok. - AFP

-DIPETIK DARI HARIAN METRO



No comments:

Post a Comment