Friday, June 29, 2012

MISI KUTIP 3 MATA BERHARGA




WAN ZACK (kiri) dijangka kembali memperkuat Harimau Muda ketika menentang Vietnam di Stadium Aung San, Yangon hari ini.


“KAMI wajib menang.” Demikian reaksi awal pengendali Harimau Muda, Ong Kim Swee ketika ditanya mengenai aksi menentang Vietnam pada kempen kelayakan Piala AFC Bawah 22 Tahun (B-22) di Stadium Aung San, Yangon hari ini.
Atas kertas, skuad kendalian Kim Swee masih berada pada landasan yang betul bagi menempatkan diri secara automatik ke pusingan akhir Piala AFC tahun depan.
Selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat Kumpulan G, skuad Harimau Muda berjaya merekodkan enam mata hasil dua kemenangan dan sekali tewas.
Pada aksi pembukaan, Harimau Malaya tewas tipis 2-3 kepada pasukan pilihan, Korea Selatan sebelum membelasah Filipina 7-0 dan menang 4-2 ke atas Taiwan.
Justeru Kim Swee berharap anak-anak buahnya dapat meneruskan momentum kemenangan menjelang pertemuan menentang Vietnam yang membenam Filipina 9-0 kelmarin.
“Peluang masih ada (untuk menduduki tempat kedua Kumpulan G) tetapi terlebih dahulu, kami harus memberikan perhatian aksi menentang Vietnam, seterusnya perlawanan dengan Myanmar.
“Saya tidak mahu memikirkan mengenai keputusan seri antara Korea Selatan dan Myanmar, sebaliknya saya lebih berminat fokus pada aksi Vietnam yang mana kami wajib.
“Vietnam merupakan sebuah pasukan yang baik, cukup pantas di bahagian serangan dan juga benteng pertahanan.
“Jadi, saya berharap kami dapat mencatatkan kemenangan yang ketiga sebelum bersiap sedia pada aksi menentang Myanmar Sabtu ini,” kata Kim Swee ketika dihubungi Kosmo! di Yangon semalam.
Beliau turut melahirkan perasaan bimbang terhadap tiga tonggak - Irfan Fazail, Fandi Othman dan Shahrul Saad yang berkemungkinan mengalami masalah keletihan kerana beraksi penuh dalam tiga perlawanan lalu.
“Berdasarkan jadual perlawanan, kami hanya memiliki rehat selama sehari yang mana saya perlu menilai tahap kecergasan setiap pemain.
“Fandi, Irfan dan Shahrul telah beraksi tiga perlawanan berturut-turut dan situasi itu pasti memberikan impak kepada mereka.
“Namun, saya berharap mereka dapat beraksi baik dan tidak ditimpa sebarang kecederaan pada perlawanan menentang Vietnam nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Kim Swee mampu menghela nafas lega apabila pemain sayap lincah, Wan Zack Haikal Wan Nor akan kembali beraksi selepas digantung tiga perlawanan.
“Kehadiran Wan Zack sangat penting buat pasukan. Dia merupakan seorang pemain yang berpengalaman, sekali gus dapat membantu rakan-rakan sepasukannya,” ujar Kim Swee.

No comments:

Post a Comment