Saturday, June 30, 2012

PAHANG BERSEDIA UNTUK SUKMA



AHMAD HAIRI meninjau kemudahan di Kompleks Kolam Renang Kuantan, Pahang semalam.


DESAS desus mengenai kegagalan kerja naik taraf Kompleks Kolam Renang Kuantan sebagai venue acara akuatik bagi menghadapi Sukan Malaysia (Sukma) Pahang pada 7 Julai ini akhirnya terjawab apabila ia siap sepenuhnya semalam.
Ia juga menjadikan semua 22 venue untuk pelbagai acara telah berjaya disiapkan sepenuhnya dan sedia digunakan bagi memastikan penganjuran Sukma ke-15 di negeri itu berjalan lancar.
Ketua Pegawai Eksekutif, Sekretariat Sukma ke-15, Ahmad Hairi Hussain berkata, semua venue berkenaan telah diserahkan kepada penganjur termasuk kompleks renang yang tertangguh selama sebulan sebelum ini.
"Kolam renang tersebut yang menelan kos sebanyak RM21 juta menjadi venue terakhir yang diserahkan kepada pengelola Sukma Pahang hari ini (semalam).
"Walaupun terlewat (disiapkan), saya puas hati dan ia boleh digunakan sebelum Sukma bermula seminggu lagi," kata beliau kepada pemberita di Indera Mahkota, Kuantan semalam.
Beliau berkata demikian selepas terjun ke dalam kolam renang sebagai tanda merasmikan venue berkenaan yang sering menjadi sebutan orang ramai sebelum ini disebabkan kelewatan ia disiapkan.
Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Pengurusan Sukan, Majlis Sukan Negara, Datuk Ab. Jalil Abdullah.
Tambah Ahmad Hairi, kerja naik taraf kolam renang tersebut yang terkebelakang dari jadual asal berpunca daripada kelewatan mendapatkan bahan binaan yang sesetengahnya diimport dari luar negara.
"Kelewatan berlaku kerana banyak peralatan yang terpaksa diimport. Beberapa peralatan pula perlu ditempah dari luar," jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan, kos keseluruhan dalam penganjuran Sukma di negeri itu melibatkan perbelanjaan sebanyak RM238 juta.
Ujar beliau, sebanyak RM159 juta digunakan bagi pembangunan prasarana sukan, RM69 juta untuk perbelanjaan pengoperasian dan RM2 juta bagi tujuan publisiti.

No comments:

Post a Comment