Saturday, June 30, 2012

SPAIN MAHU CIPTA SEJARAH


RAMOS yakin Sepanyol mampu memenangi satu lagi trofi selepas menjuarai Euro 2008 dan Piala Dunia 2010.



KIEV, Ukraine - Pemain pertahanan Sepanyol, Sergio Ramos mengakui pasukan itu mempunyai misi besar pada final Euro 2012 menentang Itali di Stadium Olimpik awal pagi esok.
Ramos berkata, skuad La Roja mahu meneruskan usaha mereka bagi menguasai bola sepak dunia sejak memenangi gelaran juara Euro 2008 di Vienna, Austria.
Sepanyol menambah satu lagi trofi apabila menjuarai Piala Dunia 2010 dan kemenangan ke atas Itali nanti bakal menjadi skuad La Roja sebagai pasukan pertama yang memenangi tiga gelaran utama berturut-turut.
Skuad bimbingan Vicente del Bosque juga akan menjadi pasukan pertama yang berjaya mempertahankan gelaran juara Eropah, sekali gus menyamai rekod Jerman yang memenangi tiga gelaran pada kejohanan di benua itu selepas kali pertama merangkulnya pada 1964.
"Kami mahu terus meletakkan kualiti hasil kerja keras kami di tahap yang lebih tinggi.
"Malah, jika boleh saya mahu meletakkannya di tahap yang sukar untuk dipercayai kerana belum ada pasukan yang memenangi tiga gelaran berturut-turut.
"Kami berpeluang untuk melakukannya. Ia memerlukan kerja keras, perasaan rendah diri dan kepuasan untuk beberapa tahun.
"Sepanyol sudah bersedia untuk melakar sejarah tetapi ia masih belum berakhir dan kami mahu memenangi trofi itu (Euro 2012)," kata pemain pertahanan Real Madrid itu.
Ramos berkata, meskipun ada sesetengah pihak yang tidak akan menghargai segala pengorbanan mereka selama ini sekiranya pasukan itu tewas kepada Itali, dia tetap pulang dengan perasaan bangga.
Dalam pada itu, Ramos mengakui Andrea Pirlo merupakan nadi utama skuad The Azzurri, sama seperti Xavi Hernandes dan dia perlu dirantai bagi mengekang pergerakannya.

DIPETIK DARIPADA KOSMO...

No comments:

Post a Comment