Saturday, July 07, 2012

ZOLKPLES BERI AMARAN

                        
ADA mesej penting yang mahu disampaikan Majlis Sukan Negara (MSN) kepada semua persatuan kebangsaan sebelum berlangsungnya temasya Sukan Olimpik 2012 di London penghujung bulan ini.


Tidak mahu 'pisang berbuah dua kali' MSN telah mengingatkan semua persatuan sukan kebangsaan agar membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum mengumumkan sesuatu perkara yang berkaitan dengan atlet masing-masing.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Seri Zolkples Embong berkata, peringatan itu dibuat rentetan daripada tindakan terburu-buru Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) apabila membuat pengumuman atlet angkat berat wanita, Azizah Fadzil layak ke London.
Bagaimanapun, Azizah akhirnya disahkan tidak layak beraksi pada temasya Olimpik kali ini setelah slotnya diberikan kepada atlet Vietnam.
"Kita tidak menyalahkan mana-mana pihak dalam perkara ini kerana kesilapan boleh berlaku, namun saya harap selepas ini persatuan sukan kebangsaan lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu pengumuman tentang atlet mereka.
"Tindakan tersebut hanya akan menjejaskan semangat dan tumpuan atlet tersebut, lebih-lebih lagi bagi atlet muda seperti Azizah yang masih mempunyai banyak peluang untuk mewakili negara," kata Zolkples kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Perkampungan Sukan Atlet temasya Sukan Malaysia (Sukma) di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan semalam.
Terdahulu, Azizah, 21, layak secara merit le London setelah berada di kedudukan keenam teratas dalam kategori 53 kilogram pada Kejohanan Kelayakan Zon Asia di Pyeongtaek, Korea Selatan, April lalu.
Bagaimanapun, perubahan ranking yang dilakukan Persekutuan Angkat Berat Dunia (IWF) baru-baru ini menyaksikan atlet Vietnam yang sebelum ini menduduki tangga ketujuh keseluruhan, naik ke tangga ketiga manakala Azizah jatuh ke tangga ketujuh.
Mengikut peraturan, hanya negara yang berada dalam ranking keenam bagi Zon Asia layak mendapat slot ke London.

No comments:

Post a Comment