Saturday, July 07, 2012

FAM BELUM BERSEDIA

                                      


PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) masih belum bersedia untuk meminda Artikel 88 dalam statut perlembagaan badan induk itu.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad mengesahkan mengenai perkara itu selepas mesyuarat Kongres FAM kali ke-48 di Kuala Lumpur semalam.
Azzuddin yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu berkata, FAM masih melakukan beberapa kajian dan penelitian dengan lebih terperinci Artikel 88 sebelum berhasrat untuk membentangkan statut tersebut pada masa akan datang.
"Bukan tidak dibentangkan (Artikel 88) pada Kongres Tahunan FAM hari ini (semalam) tetapi kami masih belum bersedia.
"FAM perlu meneliti dan mengkaji dengan lebih mendalam terhadap statut tersebut (sebelum mengubal Artikel 88).
"Selepas melakukan kajian terperinci, FAM akan membentangkan usul itu pada masa akan datang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Sebelum ini, Artikel 88 yang telah menyebabkan Timbalan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun enam bulan, April lalu, berpeluang untuk dipinda.
Ia bergantung kepada cadangan yang dikemukakan oleh ahli gabungan kepada mesyuarat Exco sebelum dibentangkan dalam Kongres Tahunan 2010/11 FAM semalam.
Statut itu mula menjadi perhatian apabila Annuar didapati bersalah kerana membuat kenyataan terbuka mengenai prestasi skuad bola sepak kebangsaan sedangkan dalam Artikel 88 hanya membenarkan Presiden dan Setiausaha Agung FAM yang boleh berbuat demikian.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut dikenakan penggantungan enam bulan selepas didakwa melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
Namun, Tengku Abdullah turut menyatakan kesediaan mengkaji semula Artikel 88 itu dan ia turut mendapat sokongan sesetengah pemerhati bola sepak yang mendapati kewajaran untuk mengkajinya jika mampu memberi kebaikan kepada bola sepak negara.
Sementara itu, Datuk Afandi Hamzah berkata, FAM telah bersetuju dan mencapai kata sepakat untuk menambah ahli jawatankuasa.
Afandi menjelaskan daripada 8 ahli jawatankuasa, dua anggota wanita yang berpengetahuan luas di dalam bidang bola sepak bakal dipilih untuk menerajui dunia bola sepak wanita.-KOSMO!

No comments:

Post a Comment