Thursday, August 16, 2012

"JURANG TERLALU BESAR"

                                     


RATU terjun negara, Pandelela Rinong enggan memberikan harapan terlalu tinggi kepada rakyat Malaysia jika terpilih beraksi pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Menurut Pandelela, buat masa ini, dia harus lebih realistik kerana menyedari penerjun negara sukar untuk memecahkan dominasi China dalam acara terjun.
"Jurang antara kita (Malaysia) dan China terlalu besar, sebab itu kita perlu mempunyai infrastruktur yang terbaik untuk latihan dan juga jurulatih yang berkualiti.
"Ketika ini, kita hanya memiliki kurang 12 penerjun berpotensi, jadi untuk memecahkan tembok penguasaan China kita perlu lebih ramai penerjun yang mampu mencapai terjunan yang diharapkan," katanya.
Terdahulu, Pandelela, 19, yang tiba bersama Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik London, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong bersama skuad akuatik negara di tanah air mendapat sambutan hangat ratusan peminatnya yang sanggup menunggu seawal pukul 7 pagi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Turut menyambut Pandelela ialah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Pada temasya di London, anak jati Sarawak itu mengumpul 359.20 mata dalam acara 10 meter platform individu wanita, sekali gus menggondol gangsa di bela- kang pemenang pingat emas, Chen Ruolin dari China (422.30) dan pemenang pingat perak, Brittany Broben (366.50) dari Australia.
Selain acara itu, Pandelela gagal meraih sebarang pingat dalam dua lagi acara yang disertainya iaitu 3 meter papan anjal seirama dan 10 meter platform seirama.
"Terlalu awal untuk fikirkan warna pingat (Olimpik 2016) kerana ia bergantung bagaimana saya menempuh empat tahun akan datang. Jadi, saya tidak mahu janji apa-apa.
"Cuma, saya yakin untuk berada di kelompok tiga terbaik, selain berharap dapat perak. Lagi bagus jika dapat emas," katanya.
Ditanya mengenai perancangan akan datang, Pandelela mengakui, dia belum memikirkannya kerana tumpuannya kini adalah mahu berehat.
"Saya mahu rehat buat masa ini. Latihan selama empat tahun, cukup memenatkan saya. Jadi, cuti dua minggu yang diberikan oleh jurulatih, akan saya gunakan sebaik-baiknya.
"Tiada perancangan yang khusus tetapi mungkin saya akan ke satu destinasi untuk bercuti bersama keluarga. Tempatnya, biarlah rahsia," ujarnya.
Pandelela turut menafikan karakternya akan berubah selepas menjadi wanita pertama negara yang merangkul pingat di pentas Olimpik.
"Saya masih low profile dan saya senang dengan cara begitu walaupun sudah mendapat pingat Olimpik," katanya.
Pandelela tiba di KLIA semalam sambil ditemani oleh kedua ibu bapanya, Hartini Lamim dan Pamg Joheng yang diterbangkan khas dari Kuching oleh syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bertemu Pandelela pada Jumaat ini selepas pulang dari- pada menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa kali keempat Persidangan Kerjasama Islam di Mekah.

No comments:

Post a Comment