Thursday, August 16, 2012

TERJUN DAPAT KEUTAMAAN-AHMAD SHABERY



SEPANG - Kerajaan sedia memberi keutamaan kepada acara terjun yang semakin berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini sehingga melahirkan jaguh dunia seperti Pandelela Rinong.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Seri Shabery Cheek berkata, kerajaan akan memberi perhatian dari aspek menambah peruntukan bagi memantapkan lagi program pembangunan dan infrastruktur sukan itu.
Menurutnya, pihaknya sedar mengenai kekurangan yang dihadapi skuad terjun khususnya kemudahan latihan yang sudah uzur dan ketinggalan zaman dan memberi jaminan kerja-kerja menaiktaraf akan disegerakan.
"Terjun adalah sukan yang begitu maju dan ia akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang, bagaimana untuk memperbaiki segala kemudahan yang sedia ada.
"Di samping itu kita juga akan membantu mereka meneruskan program pendedahan dan sistem kejurulatihan di mana seseorang jurulatih tidak terlalu dibebani dengan tugasan mendidik terlalu ramai atlet pada setiap masa.
"Begitu juga gim kering (dry gym) dan gimnasium kita akan utamakan," jelasnya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Isu fasiliti dan kelengkapan latihan terjun di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil merupakan masalah yang berlanjutan sejak beberapa tahun lalu, namun di sebalik itu semua ia tidak mengekang peningkatan ketara prestasi penerjun-penerjun kita di peringkat antarabangsa.
Antara kekurangan yang sering diungkit ketua jurulatih, Yang Zhuliang dan atlet-atlet terjun lain termasuk saiz platform 10m yang ketinggalan zaman dan tidak memenuhi piawaian untuk acara seirama, di samping kelengkapan latihan dalam berkeadaan buruk.
Awal tahun ini, beberapa akhbar termasuk Utusan Malaysia mendedahkan bahawa enam trampolin di gim kering terkoyak dan cara ia diperbaiki ialah sekadar ditampal dengan pita pelekat.

No comments:

Post a Comment