Monday, August 27, 2012

LEE CONG WEI MASIH ADA PELUANG

                                          


Datuk Lee Chong Wei masih berpeluang beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil.
Bagaimanapun, semua itu hanya akan menjadi kenyataan jika perancangan yang teratur dilakukan mulai sekarang bagi membolehkan Chong Wei beraksi sekali lagi di pentas Olimpik.
Hakikat itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih badminton perseorangan negara, Rashid Sidek.
Menurut Rashid, Chong Wei masih boleh beraksi pada Olimpik 2016 jika pemain No. 2 dunia itu bersikap selektif dengan menyertai kejohanan utama di peringkat antarabangsa.
"Prestasi Chong Wei sebenarnya sangat bagus pada tahun ini tetapi setelah dihimpit beberapa masalah kecederaan, sesi latihannya terus terganggu.
"Jadi kita perlu pilih kejohanan-kejohanan utama yang menyumbang merit (ke Sukan Olimpik) dan yang tidak penting, mungkin boleh dielakkan bagi mengurangkan risiko kecederaan yang tinggi terhadapnya.
"Chong Wei sudah berusia 30 tahun, jadi kadar proses pemulihan mungkin lambat berbanding sebelum ini.
"Jika dia berumur 20 atau 22 tahun, kita boleh asak dia lagi untuk mengikuti latihan yang lebih keras," kata Rashid kepada Kosmo! baru-baru ini.
Rashid berkata, tumpuan Chong Wei kini tidak harus tertumpu kepada misi menyumbang pingat emas Olimpik, sebaliknya lebih kepada aspek kecergasan.
"Buat masa ini, hanya (bintang China) Lin Dan dan Chong Wei sahaja yang berada di tahap yang tertinggi, (prestas) pemain-pemain yang lain masih jauh di belakang mereka.
"Selagi kita boleh mengekalkan prestasi Chong Wei dalam tempoh beberapa tahun lagi saya rasa ia sudah cukup baik.
"Apa yang paling penting sekarang, kita cuba mengelakkan Chong Wei daripada mengalami kecederaan yang serius lagi," ujar Rashid.
Sebelum beraksi pada Sukan Olimpik 2012, Chong Wei ditimpa beberapa siri kecederaan sehingga menjejaskan persiapannya bagi menghadapi temasya di London.
Ketika aksi final Seluruh England menentang Lin Dan pada Mac lalu, Chong Wei terpaksa menarik diri akibat mengalami kecederaan di bahagian bahu.
Dua bulan kemudian, Chong Wei sekali lagi dirundung malang apabila mengalami kecederaan di bahagian buku lali kanan ketika beraksi pada kempen Piala Thomas di Wuhan, China.

No comments:

Post a Comment