Monday, August 27, 2012

ZHULIANG MUNGKIN AKAN KEKAL DI MALAYSIA

                            



KUALA LUMPUR - Ketua jurulatih terjun Yang Zhuliang, yang dikhabarkan bakal meninggalkan skuad kebangsaan untuk pulang ke Australia, berkemungkinan besar kekal setia bersama Malaysia dengan bermatlamatkan kejayaan lebih besar pada Olimpik Rio de Janeiro 2016.
Ini berdasarkan petanda kuat daripada jurulatih itu, di samping beberapa perkembangan positif sejak kejayaan anak didiknya, Pandelela Rinong merangkul gangsa Olimpik, iaitu pingat pertama selain badminton untuk kontinjen negara.
Kontrak Zhuliang, 48, akan berakhir Oktober ini dan Majlis Sukan Negara (MSN) dijangka mengemukakan tawaran baru yang tentunya lebih menarik dan lumayan, bagi melanjutkan tempoh perkhidmatannya dalam tempoh terdekat.
Jurulatih kelahiran China yang juga memegang status Penduduk Tetap (PR) di Australia itu, berkemungkinan diperbaharui kontraknya selama empat tahun iaitu sehingga Sukan Olimpik Rio.
"Adalah satu kelaziman untuk semua jurulatih seluruh dunia berpindah-randah selepas kitaran empat tahun.
"Namun jika tawarannya bagus, kenapa tidak? Saya akan berasa gembira jika ditawarkan kontrak baru oleh MSN," kata Zhuliang.
Ditanya jika dia mempunyai sebarang syarat untuk kekal, jelasnya: "Dalam pekerjaan anda, apakah anda tidak ada sebarang permintaan?"
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Shabery Cheek pada minggu lalu menyatakan pihaknya akan melakukan apa yang terdaya untuk menawan hati Zhuliang, yang disifatkan sebagai jurulatih berwibawa, untuk terus membimbing penerjun negara.
Shabery turut memberikan jaminannya bahawa sukan terjun bakal diberi keutamaan kelak dan ternyata ia bukan janji kosong apabila Shabery sendiri turun padang meninjau keadaan tenat fasiliti di Pusat Akuatik dan gim kering kegunaan penerjun.
Beliau mengumumkan peruntukan hampir RM1 juta akan digunakan bagi membiayai kerja menaiktaraf dan penyelengaraan.
Selain itu, Shabery juga berkata, pihaknya sedia mempertimbangkan pengambilan empat jurulatih baru untuk membantu ringankan beban Zhuliang.
Dengan segala jaminan pihak Kementerian, Zhuliang kini mempunyai setiap alasan untuk terus kekal, walaupun sementara menunggu apakah tawaran baru daripada MSN.
Namun tiada apa yang lebih penting melainkan niat yang diserlahkan daripada Zhuliang sendiri.
Ini kerana sekembalinya dari Olimpik London, dia langsung tidak membuang masa dan terus menyambung kerjanya pada hari berikutnya untuk mengendalikan latihan penerjun-penerjun pelapis yang sedang membuat persiapan ke Kejohanan Remaja Dunia di Adelaide, Australia, bulan depan.
"Semua penerjun dapat cuti, kami jurulatih sambung kerja. Masa depan Malaysia dalam terjun cukup cerah, terutamanya Olimpik Rio.
"Kalau mahu berjaya, kerja harus dimulakan serta-merta, bukan esok," ujarnya.-MSN

No comments:

Post a Comment