Saturday, August 11, 2012

MALAYSIA CATAT SEJARAH TERSENDIRI



ZOLKPLES (kiri) menjawab soalan pemberita pada sidang media khas di Perkampungan Atlet Sukan Olimpik 2012, London semalam.


SUKAN Olimpik 2012 London yang akan menutup tirainya hari ini mencatat sejarah tersendiri buat kontinjen negara.
Kejayaan meraih satu pingat perak dan satu pingat gangsa merupakan yang terbaik dalam sejarah penyertaan mereka pada temasya sukan terbesar dunia itu.
Walaupun menyamai pencapaian pada temasya di Atlanta pada tahun 1996 tetapi kejayaan kali ini lebih membawa makna kerana pingat yang menangi disumbangkan oleh dua sukan yang berbeza.
Selain itu, pentas di London juga menyaksikan buat julung kalinya atlet wanita negara berjaya menjulang pingat yang disumbangkan oleh ratu terjun, Pandelela Rinong.
Pada temasya di Atlanta, dua pingat yang diraih oleh kontinjen negara iaitu satu perak dan satu gangsa diperoleh daripada sukan badminton menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock (perak) dan Rashid Sidek (gangsa).
"Kalau dari segi sasaran (iaitu untuk meraih pingat emas), saya boleh katakan kita gagal merealisasikannya tetapi jika dilihat dari sudut lain, saya anggap kita telah mencapai kejayaan yang memberangsangkan.
"Kita juga telah mencipta sejarah bahawa sukan terjun telah melakukan kejutan apabila menghadiahkan kita pingat gangsa dan Pandelela pula mengukir nama sebagai atlet wanita pertama negara yang berjaya meraih pingat di Sukan Olimpik.
"Ini bermakna, kita tidak bergantung dengan badminton sahaja untuk menyumbang pingat, sukan lain pun nampaknya sudah mula mengorak langkah.
"Badminton memang menjadi sasaran kita untuk menyumbang pingat berdasarkan reputasi pemain kita di peringkat antarabangsa.
"Sekarang ini, terjun menjadi sukan kedua yang berjaya menyumbang pingat," kata Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Seri Zolkples Embong semalam.
Menurutnya, sukan-sukan lain seperti lumba basikal, memanah dan juga lawan pedang turut menunjukkan peningkatan dan mereka telah membuktikan bahawa mereka memiliki potensi untuk memberikan pingat kepada kontinjen negara.
"Saya yakin, jika atlet-atlet daripada sukan berkenaan terus mendapat pendedahan yang secukupnya, tidak mustahil mereka mampu meraih kejayaan pada Sukan Olimpik di Rio de Janeiro, Brazil dalam masa empat tahun lagi.
"Berdasarkan prestasi cemerlang mereka pada temasya di London ini, mereka mempunyai banyak ruang untuk berjaya dengan syarat mereka terus bekerja keras untuk meningkat prestasi masing-masing," katanya.
Menurut Zolkples, misi mencari pingat emas pertama pada Sukan Olimpik hampir berjaya direalisasikan.
"Seluruh rakyat Malaysia menyaksikan bagaimana Datuk Lee Chong Wei berjuang untuk merealisasikan hajat besar itu, namun dia kurang bernasib baik walaupun kita sangat hampir untuk menjelmakannya.
"Chong Wei tidak menyerah dengan mudah ketika berdepan Lin Dan pada final acara badminton perseorangan lelaki minggu lalu dan dia telah menunjukkan kesungguhan untuk memburu emas tetapi apakan daya, nasib tidak menyebelahinya," jelasnya.
Sebab itu katanya, pencapaian pada temasya di London ini bukan satu kegagalan, sebaliknya bertindak sebagai pembuka ruang kepada kontinjen negara untuk merealisasikannya dalam masa empat tahun lagi.
"Jadi selepas ini, kita akan terus berusaha untuk melahirkan lebih ramai atlet yang mampu memberi saingan pada Sukan Olimpik, dan setiap kelemahan yang dikenal pasti akan diatasi segera.
"Daripada temasya di London ini, ramai atlet kita mempunyai potensi untuk menang pingat kerana sebahagian besar daripada mereka ini masih muda.
"Kita akan kaji balik program sedia ada dan setiap kekurangan akan cuba diatasi sebaik mungkin. Banyak yang perlu dikaji termasuk kejurulatihan, kaedah sains sukan, atlet serta tenaga sokongan untuk menggerakkan program itu kelak dengan lebih berkesan.
"Pemilihan jurulatih sangat penting. Kita mahukan jurulatih yang komited, dan boleh bertindak sebagai 'bapa' kepada atlet di bawah jagaannya. Sains sukan juga perlu diperhebatakan bagi membantu memantapkan kekuatan mental atlet.
"Saya ambil contoh, beregu badminton kita iaitu Koo Kien Keat-Tan Boon Heong. Ketika berdepan perlawanan separuh akhir dengan beregu China, mereka terlalu mudah kehilangan fokus, dan prestasi buruk berterusan pada penentuan pingat gangsa ketika berdepan beregu Korea Selatan.
"Ini menunjukkan mereka tidak memiliki kekuatan mental yang mantap untuk berdepan tekanan semasa perlawanan.
"Alangkah baiknya kalau semua atlet kita mempunyai kekuatan seperti Chong Wei, Nicol David mahupun Mohd. Azizulhasni Awang.
"Mereka ini mempunyai tahap keyakinan diri yang menakjubkan dan sebab itu saya katakan, alangkah bagusnya kalau semua atlet kita sehebat kekuatan tiga atlet terbabit," jelas Zolkples.
Ditanya sama ada program Road to London sebagai gagal dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM20 juta, Zolkples berkata, apa yang dirancangkan di bawah program sudah mula menunjukkan hasil.
"Saya tidak boleh kata sebagai gagal, sebaliknya kita telah berjaya melahirkan atlet yang berpotensi untuk diberi sandaran meraih pingat pada temasya akan datang.
"Bajet program tersebut sebenarnya rendah tetapi ia ditambah kepada RM20 juta selepas acara hoki dan bola sepak disenaraikan di bawah program tersebut.
"Untuk menampung bajet tersebut, maka kita telah memotong peruntukan program pendedahan atlet ke luar negara dan program menghantar atlet berlatih serta bertanding di luar negara juga dikurangkan bagi memastikan program Road to London tidak terjejas.
"Dengan bajet yang amat sedikit itu, kita tetap berjaya meraih pingat daripada Sukan Olimpik ini dan untuk program seterusnya, saya tidak pasti berapa peruntukan yang akan diberikan," tegasnya.

No comments:

Post a Comment