Saturday, August 11, 2012

NORASEELA PERLU BERSARA

                      



MUNGKIN sudah tiba masanya bagi jaguh lari berpagar wanita negara, Noraseela Mohd. Khalid bersara daripada sukan olahraga.
Walaupun setakat ini dia masih tiada tandingan dalam acara 400 meter (m) lari berpagar wanita, namun dengan apa yang dibuktikannya pada Sukan Olimpik 2012 London, dia sudah tidak boleh pergi lebih jauh lagi.
Dia sudah tidak berupaya untuk memberi cabaran pada peringkat antarabangsa dan Olimpik London sudah ada jawapannya bahawa kariernya hampir sampai ke penghujung.
Noraseela, 32, yang bertanding di Olimpik London atas slot wild card sekadar menduduki tempat tercorot dalam saringan kedua dengan catatan masa 1:00.16 saat (s) dan ia merupakan pencapaian terburuk pernah dilakukan olehnya.
Dia tersingkir awal sekali gus memusnahkan harapannya untuk mencipta rekod baharu kebangsaan.
Noraseela mempunyai catatan peribadi terbaik iaitu 56.02s dalam acara kegemarannya itu yang dilakukan pada satu kejohanan olahraga di Regensburg, Jerman pada 2006.
Sehingga kini, catatan tersebut amat sukar untuk diatasinya dan ia juga membuktikan bahawa sudah tiba masanya untuk dia meninggalkan lapangan olahraga.
Dalam satu temu bual baru-baru ini sebelum dia berangkat ke London, Noraseela menganggap usia bukan penghalang untuk terus aktif malah dia semakin bersemangat untuk meningkatkan prestasinya.
"Jangan pandang pada usia. Ramai lagi atlet yang mampu meraih kejayaan meskipun semakin di mamah usia. Contohnya, Merlene Ottey yang masih berlari pada usia 52 tahun," jelasnya.
Walaupun semangatnya untuk terus aktif masih membara tetapi masa depannya dalam sukan olahraga memang sudah semakin malap.
Memang tidak dinafikan bahawa pada peringkat Sukan SEA, Noraseela masih tiada tandingan dan masih mampu menyumbang kejayaan buat kontinjen negara.
Begitupun, pada peringkat antarabangsa, dia sudah tidak mampu untuk bersaing.
Sebagai atlet paling berpengalaman dan terbaik di Malaysia, Noraseela tidak pernah meraih sebarang kejayaan di pentas antarabangsa, malah pada peringkat Asia pun dia gagal bergelar juara.
Pencapaian terbaiknya pada peringkat Asia hanyalah memenangi pingat perak bermula dengan Kejohanan Olahraga Asia di Incheon, Korea Selatan pada tahun 2005.
Sebelum itu, pada kejohanan yang sama di Jakarta (2000) dia menduduki tempat ketiga.
Pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar, dia turut meraih pingat gangsa dan pada Kejohanan Asia di Guangzhou (2009) dia berjaya meraih pingat perak.
Kemerosotan prestasinya bermula di Sukan Asia 2010 di Guangzhou yang menyaksikannya menamatkan perlumbaan di tempat kelima.
Selepas itu kegagalan demi kegagalan terus menghantuinya tetapi Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas cabaran di Sukan Olimpik.
Ketika usianya sudah mencecah 32 tahun, adakah langkah menghantarnya ke London untuk tujuan pendedahan atau sebaliknya.
Jika KOM berhasrat untuk memberi pendedahan, maka atlet yang lebih muda dan berbakat harus diberi keutamaan dan bukannya atlet yang sudah hampir mahu 'pencen'.
Bukan mahu memperkecilkan kemampuan Noraseela, tetapi demi masa depan sukan olahraga, yang muda seharusnya diberi pendedahan.
Memang tidak dinafikan, kelebihan Noraseela adalah pengalaman tetapi perlu diingat bahawa pengalaman sahaja tidak cukup untuk menjamin kemenangan.
Aksinya di London memang agak mengecewakan iaitu tersingkir seawal peringkat saringan.
Adakah KOM tidak mempunyai pilihan atau kesatuan itu kini ketandusan atlet?
Olahraga sebenarnya sukan yang sangat popular di Malaysia dan hampir semua sekolah memberi keutamaan kepada sukan tersebut.
Setiap tahun semua sekolah di seluruh negara mengadakan Kejohanan Olahraga mereka setiap tahun tetapi kegiatan tersebut tidak pernah dipandang serius oleh KOM dan akibatnya, mereka gagal melahirkan atlet berwibawa.
KOM sebenarnya tidak buat kerja. Mereka lebih mengutamakan politik dalaman daripada membangunkan sukan olahraga.
Jika mereka meneruskan program pembangunan daripada dulu, kini dan selamanya, Noraseela tidak mungkin menjadi pilihan untuk menggalas cabaran di Olimpik London.
Mungkin selepas ini, KOM perlu bangkit dan bekerja keras untuk melahirkan atlet baharu yang mampu layak ke Sukan Olimpik secara merit dan bukannya menerusi slot wild card.

No comments:

Post a Comment