Monday, July 09, 2012

TENGKU ABDULLAH GELENG KEPALA


KERJA-KERJA memperbaiki platform di Kompleks Akuatik Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota disegerakan kelmarin ekoran tidak memenuhi piawaian.



TENGKU Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah rasa dukacita dengan kontroversi berhubung platform di Kompleks Akuatik Wisma Belia, Bandar Indera Mahkota yang dikatakan ‘tidak bersedia’ digunakan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) kali ke-15 Pahang gara-gara tidak menepati piawaian.
Tengku Abdullah menegaskan, perkara itu tidak sepatutnya berlaku walaupun platform tersebut sudahpun dibaiki segera oleh pihak penganjur.
“Saya diberitahu masalah itu sudah selesai, ia terjadi gara-gara masalah komunikasi antara Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dengan penganjur.
“Saya sendiri tertanya-tanya di mana silapnya dan ia sepatutnya tidak berlaku.
“Saya difahamkan, model platform itu merujuk kepada model lama. Sekarang ia sudah diperbaiki, jadi tiada lagi masalah,” titah baginda kepada pemberita semasa melawat kompleks itu semalam.
Turut hadir Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar.
Akhbar semalam melaporkan mengenai masalah kemudahan terjun di kompleks yang dinaik taraf dengan peruntukan RM21 juta itu yang didapati tidak menepati piawaian.
Kesilapan tersebut yang hanya dikesan sehari sebelum acara terjun membuka tirai kelmarin, didapati berlaku pada platform 10 meter apabila panjang pentas itu dibina kurang semeter.
Ia boleh mengundang risiko untuk atlet yang terjun dari ketinggian itu kerana dia berkemungkinan terlanggar satu lagi platform (7m) di bawahnya ketika membuat terjunan.
Ketika ditanya apakah tindakan susulan yang bakal diambil berhubung kesilapan itu, Tengku Abdullah bertitah: “Kita akan siasat, sekarang bukan masa untuk salahkan sesiapa.
“Pokoknya, ia sudah selamat digunakan sekarang.”
Dalam pada itu, Tengku Abdullah juga menegur pihak penganjur supaya sentiasa peka dengan masalah yang dihadapi pihak media dalam membuat liputan temasya kali ini.
Menurut baginda, setiap teguran perlu dipandang berat kerana ia melibatkan imej penganjur.
Dalam pada itu, suasana di bilik media kompleks berkenaan bertukar kecoh apabila ‘dibanjiri’ limpahan air hujan sehingga menyukarkan petugas media membuat liputan acara renang yang sedang berlangsung malam tadi.
Ia ekoran bahagian atas bilik tersebut didapati bocor gara-gara hujan lebat dan berlaku beberapa jam selepas lawatan Tengku Abdullah.
Selain bilik media, bumbung tempat duduk penonton di kompleks itu juga mengalami masalah yang sama.
Senario itu menimbulkan persoalan dalam kalangan media memandangkan kos menaiktaraf kompleks tersebut bukannya murah iaitu RM21 juta.
Dengan beberapa masalah tersebut, kredibiliti Pahang sebagai satu-satunya penganjur temasya Sukma buat kali kedua dilihat sedikit tercalar.-KOSMO!

No comments:

Post a Comment